| Posted: 22 April 2009 at 12:39pm | IP Logged
|
|
|
KUALA LUMPUR 21 April - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat)
tidak menolak kemungkinan modal berbayarnya akan ditambahkan lagi pada
tahun ini sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa.
Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, kajian masih
dibuat sama ada wujudnya keperluan meningkatkan modal berbayar itu.
Katanya, modal berbayar semasa sebanyak RM2 bilion dan dana pemegang
saham berjumlah hampir RM5 bilion, sudahpun cukup untuk menyokong
operasi bank itu.
"Bagaimanapun, kami juga perlu menimbang permintaan ahli-ahli dan
orang ramai. Kami berharap dapat membuat keputusan pada tahun ini jika
wujudnya keperluan berbuat demikian," katanya selepas mengumumkan
prestasi kewangan Bank Rakyat bagi suku pertama tahun ini, di sini hari
ini.
Beliau berkata, Bank Rakyat belum mengemukakan sebarang permohonan
kepada Bank Negara Malaysia atau mana-mana pihak berkuasa untuk
mendapatkan kelulusan.
"Kalau ada peningkatan (modal berbayar) , jumlahnya tidaklah besar tetapi mampu memenuhi permintaan ramai," ujarnya.
Ditanya tentang nisbah pembiayaan tidak berbayar (NPF) bersih,
beliau menjangka NPF kekal pada 1.8 peratus sehingga hujung tahun ini
seperti mana akhir bulan Mac lalu.
Bbeliau menambah, Bank Rakyat juga akan mengekalkan momentum
pertumbuhannya dengan sasaran perolehan RM1.3 bilion tahun ini
berbanding RM1.23 bilion, tahun lalu.
"Kami menjangka prestasi memberangsangkan bagi sembilan bulan akan
datang hasil momentum pertumbuhan kukuh sejak pertengahan tahun lalu.
"Disebalik keadaan ekonomi semasa yang mencabar, pencapaiannya bagi
tiga bulan lalu juga meningkat berbanding tempoh yang sama tahun lalu,"
jelasnya.
Sebelum itu, Kamaruzaman berkata, keuntungan sebelum cukai dan zakat
bagi suku pertama tahun ini meningkat 32.2 peratus kepada RM331 juta
berikutan pendapatan untung bersih dan pendapatan berasaskan yuran yang
menggalakkan.
Katanya, baki bersih pembiayaan pengguna juga bertambah 28 peratus kepada RM29.7 bilion.
"Pembiayaan pengguna kekal menjadi tumpuan utama perniagaan kami
dengan sumbangan 90.7 peratus manakala bakinya daripada pembiayaan
korporat.
"Kami menjangka permintaan pengguna terhadap pembiayaan pinjaman,
kereta dan perumahan akan meningkat ketika kemelesetan ekonomi,"
katanya. Sumber
|