admin Admin Group


Joined: 25 January 2003 Posts: 428
Online Status:
|
| Posted: 29 March 2009 at 9:15am | IP Logged
|
|
|
Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sumber: http://akob73.blogspot.com
Ramai pihak mempunyai kecenderungan untuk menerima secara bulat-bulat
tentang kisah-kisah yang terkandung di dalam buku-buku sejarah Islam
memandangkan subjek sejarah merupakan satu bidang yang dianggap ilmiah
kerana ianya termasuk dalam sukatan pelajaran di sekolah dan institut
pengajian tinggi. Namun masyarakat Islam harus sentiasa diperingatkan
bahawa buku-buku sejarah sebenarnya tidak bebas dari riwayat-riwayat
lemah dan palsu sama ada secara tidak sengaja atau disengajakan oleh
musuh-musuh Islam. Ini adalah kerana para penulis sejarah Islam
adakalanya terlalu mementingkan jalan cerita dan kesinambungannya.
Syaikh Hammam Sa’id telah berkata di dalam Muqaddimah kepada Sahih
al-Sirah al-Nabawiyyah yang ditulis oleh Ibrahim al-`Ali: “Para
ahli sejarah dan penulis sirah telah tasahul (memudah-mudahkan) di
dalam periwayatan. Mereka menyebut di dalam kitab-kitab mereka
khabar-khabar yang terputus sanadnya (munqati`) kerana ingin menjaga di
sudut kesinambungan gambaran sejarah yang berkait dengan
peristiwa-peristiwa tersebut. Sementara para ulama hadis
(al-Muhaddithin) berpandukan metodologi kritis (manhaj al-Naqd) yang
membezakan antara riwayat-riwayat yang sahih dengan yang selainnya,
sekalipun membawa kepada terputusnya gambaran sejarah atau penerimaan
episod-episod secara tidak lengkap” - Muqaddimah kepada Sahih al-Sirah
al-Nabawiyyah, ms. 7.
Terdapat juga kitab-kitab sejarah sekadar mengumpulkan sahaja apa-apa
sahaja riwayat berkaitan sejarah Islam di dalam bukunya dengan
menyertakan sanad (rantaian perawi yang meriwayatkan kisah tersebut)
tanpa memisahkan cerita yang benar dan palsu. Di antara kitab yang
menggunakan metode ini adalah Tarikh al-Umam wa al-Muluk yang juga
dikenali sebagai Tarikh al-Tabari karya Imam al-Tabari. Imam al-Tabari
pada mukadimah kitab tersebut telah berkata : “Apa
yang ada di dalam kitabku ini mengenai berita yang aku sebut tentang
sebahagian kisah orang-orang yang lalu, ada di antara berita tersebut
yang menyebabkan pembacanya merasa benci atau pendengarnya merasa
jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang
benar atau sesuatu yang hakikat, maka hendaklah dia tahu bahawa
berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang
daripada orang-orang yang menyampaikannya kepadaku. Adapun aku telah
meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”
Syaikh Salah `Abd al-Fattah al-Khalidi ketika membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari, beliau menjelaskan:
“Para ahli sejarah Islam telah menulis himpunan riwayat yang banyak
dalam penulisan mereka. Mereka mencampurkan antara yang sahih dengan
yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan antara yang sahih dari
yang sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat-riwayat
tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan perawi-perawinya. Namun
begitu mereka meriwayatkan riwayat-riwayat tersebut secara bersanad.
Mereka menyebut rawi-rawi bagi setiap sanad. Sepertimana mereka juga
menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai riwayat yang
berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu sama lain. Ini
bukan bererti kehendak mereka ingin berpegang, mempercayai dan menerima
kandungannya, tetapi yang menjadi tujuan mereka ialah menunaikan amanah
ilmu. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap
yang sampai kepada mereka sama ada riwayat itu benar atau dusta, betul
atau salah” - Salah `Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah,
m.s.7, teks asal menuskrip. Dinukil daripada kertas kerja bertajuk
Manhaj Ahl al-Sunnah Dalam Menilai Maklumat dan Menghukum Individu
dikarang oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Oleh itu bagi mereka yang memiliki kepakaran untuk mengkaji
perawi-perawi yang terdapat di dalam sanad sesuatu riwayat hendaklah
dia memperjelaskan darjat kekuatan kisah tersebut agar dapat kita
pisahkan kisah yang benar dan palsu.
Di antara kelompok yang begitu rancak menyebarkan riwayat-riwayat dusta
adalah golongan Syi’ah al-Rafidhah bertujuan untuk mengelirukan
golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ada juga di antara kisah-kisah palsu
itu tersebar ditengah-tengah masyarakat kita bahkan ada juga yang
dimasukkan ke dalam buku-buku teks yang dirujuk oleh pihak sekolah dan
institute pengajian tinggi. Di antara kisah yang kita pelajari di
sekolah adalah peristiwa tahkim yang sebenarnya diriwayatkan oleh Abu
Mikhnaf seorang tokoh Syi’ah yang melampau (ghuluw). Kisah ini terdapat
di dalam Tarikh al-Tabari (jilid 5, ms 51). Peristiwa tahkim ini
terjadi setelah peperangan di antara tentera Ali dan Mu’awiyah r.h
bertujuan untuk mencari jalan damai di antara kedua-dua pihak. Abu Musa
al-Ash’ari r.a mewakili pihak Ali manakala Amr bin al-As r.a mewakili
pihak Mu’awiyah. Di dalam perundingan tersebut kedua pihak Ali dan
Mu’awiyah dipecat dari jawatan masing-masing dan perlantikan khalifah
baru diserah kepada umat Islam. Setelah mencapai persetujuan keputusan
tersebut perlu dimaklumkan kepada orang ramai. Abu Musa al-Ashari
sebagai wakil kepada Ali mengumumkan bahawa beliau setuju bahawa
kedua-dua Ali dan Mu’wiyah dilucutkan jawatan mereka. Walaubagaimanapun
Amr bin al-Ash ketika membuat pengumuman telah menyatakan bahawa Abu
Musa telah bersetuju untuk memecat Ali dan beliau juga bersependapat
dengannya namun beliau ingin mengekalkan Mu’awiyah kerana dia adalah
wali Uthman r.a dan penuntut darahnya serta paling layak menggantikan
tempatnya. Selanjutnya cerca-mencerca terjadi diantara Amr dan Abu Musa
sehingga terjadi pergaduhan kecil yang kemudiannya dileraikankan oleh
orang ramai. Diriwayatkan juga Ali ketika berqunut subuh telah melaknat
Mu’awiyah dan Amr. Apabila Mu’awiyah mendengar tindakan itu maka dia
pun melakukan tindakan yang sama terhadap Ali. Riwayat ini dijadikan
senjata oleh pihak Syi’ah yang untuk menjatuhkan martabat para sahabat
Nabi dengan menggambarkan betapa laknat-melaknat, menghukum fasik,
melakukan kejahatan dan berdusta adalah sesuatu yang pernah berlaku di
kalangan para sahabat, malah solat juga dipergunakan untuk saling
laknat-melaknat di antara satu sama lain. Oleh itu tidak hairanlah
sekiranya para sahabat boleh melakukan perkara yang sama terhadap Ali
dan Ahlul Bait.
Khalifah Yazid pula digambarkan dalam sesetengah buku sejarah sebagai
peminum arak, seorang yang suka berfoya-foya, suka mendengar muzik dan
menghabiskan waktu dengan penari-penari, begitu juga beliau adalah
orang terlalu rendah jiwanya sehingga suka bermain dengan monyet dan
kera, terlalu mudah diterima oleh umat Islam kemudian. Ibnu Taymiyyah
di dalam Majmu’ al-Fatawa telah menkhabarkan terdapat dua golongan yang
melampau dalam memuja dan mencela Khalifah Yazid. Menurut Ibnu
Taymiyyah pandangan yang adil adalah: “Yazid
bin Muawiyah lahir pada zaman khalifah Usman ibn Affan r.a dan tidak
pernah bertemu dengan Nabi s.a.w.. Oleh itu berdasarkan kesepakatan
para ilmuan, beliau bukanlah daripada kalangan generasi sahabat. Beliau
juga bukanlah masyhur dari sudut keagamaannya dan kesolehannya. Beliau
hanyalah seorang dari kalangan pemuda-pemudi Islam. Pada waktu yang
sama, beliau tidak kafir dan tidak zindiq. Beliau memegang jawatan
khalifah selepas ayahnya di atas kebencian sebahagian umat Islam dan
keredhaan sebahagian yang lain. Beliau memiliki keberanian dan
kemuliaan dan tidaklah beliau menampakkan perbuatan-perbuatan maksiat
sebagaimana yang dihikayatkan oleh musuh-musuhnya.”
Peristiwa terbunuhnya Saidina Hussain di Karbala juga telah dicemari
dengan banyak kisah-kisah palsu. Apa yang harus kita fahami bahawa
riwayat-riwayat yang menyatakan Yazid sebagai pembunuh Saidina Hussain
90% daripadanya adalah daripada Abu Mikhnaf, al-Saaib al-Kalbi dan
anaknya Hisyam yang merupakan penganut fahaman Syi’ah Rafidhah yang
ekstrim dan telah dituduh sebagi pendusta oleh para ulama rijal (ilmu
mengkaji biografi para perawi). Arahan sebenar Yazid kepada Ubaidullah
bin Ziyad hanyalah untuk memantau atau memerhatikan sahaja pergerakan
Saidina Husain dan penduduk Kufah. Yazid telah berkata: “Saya
mendapat tahu bahawa Hussain telah menuju ke Iraq. Oleh itu berkawallah
di kawasan-kawasan perbatasan negeri. Sesiapa yang diragui, tahanlah
dia dan sesiapa yang tertuduh tangkaplah dia. Tetapi jangan engkau
perangi kecuali orang yang memerangi mu dan tulislah selalu kepada ku
tentang apa yang berlaku.” – Al-Bidayah Wa al-Nihayah, jilid 8, ms. 165.
Tindakan Yazid bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami bagi mereka
yang arif dalam bidang pemikiran politik. Mana-mana pemimpin pasti akan
berwaspada sekiranya terdapat ura-ura bahawa pemberontakan bakal
terjadi dan ianya bukan sahaja boleh menggugat tampuk pemerintahannya
malah akan menggugat kestabilan politik umat Islam pada masa itu. Namun
Ubaidullah bin Ziyad telah bertindak melampaui dari arahan sebenar
Yazid lantas menyerang rombongan Saidina Hussain di Karbala lalu
membunuhnya. Dakwaan bahawa Yazid gembira di atas kematian Saidina
Hussein dan beliau meletakkan kepala Saidina Hussein yang dipenggal di
atas tombak serta diarak keliling kota Baghdad juga merupakan kisah
palsu rekaan golongan Syi’ah bertujuan untuk mencemar imej Yazid dan
golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Yazid sebenarnya amat dukacita dengan
tragedi pembunuhan Hussain. Yazid juga telah memuliakan ahli rombongan
Hussain yang terselamat dalam peristiwa Karbala tersebut dan
mengarahkan tenteranya untuk mengiringi mereka agar selamat kembali ke
Madinah.
Penyelewengan sejarah juga dilakukan demi untuk memberi gambaran yang
buruk terhadap sesetengah tokoh-tokoh gerakan dakwah hanya kerana
pandangan tokoh-tokoh tersebut berlawanan dengan pegangan yang dipegang
oleh mereka secara turun-temurun. Di antara tokoh dakwah yang hebat
difitnah adalah Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad
Andul Wahhab r.h.
Ibnu Batutah umpamanya telah menyatakan bahawa ketika beliau berada di
Damsyik beliau berkesempatan untuk menghadiri majlis pengajian yang
dikendalikan oleh Ibnu Taymiyyah di Masjid al-Umawi. Menurut Ibnu
Batutah ketika berada di atas mimbar masjid, Ibnu Taymiyyah sedang
menerangkan tentang hadis nuzul
Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun
pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang
akhir. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Shahih al-Bukhari,
hadis no: 1145.
Lalu Ibnu Taymiyyah berucap: “Sesungguhnya
Allah turun ke langit dunia seperti aku turun ini.” Ibnu Taymiyyah
kemudiannya turun satu tangga demi satu tangga mimbar. Cerita ini
kemudiannnya dipergunakan oleh musuh-musuh Ibnu Taymiyyah untuk menuduh
beliau sebagai mujassimah (golongan yang menyerupakan Allah dengan
makhluk). Riwayat ini sebenarnya dusta kerana Ibnu Batutah di dalam
kitab Rehlah Ibnu Batutah telah menyebut bahawa dia telah memasuki
bandar Damsyik pada tarikh 19hb Ramadan 726H sedangkan Ibnu Taymiyyah
telah dipenjarakan pada tarikh 6 Sya’ban 726H dan beliau terus berada
di dalam penjara tersebut sehingga beliau meninggal dunia pada tarikh
20 Zulkaedah 728H. Oleh itu mustahil Ibnu Batutah telah berjumpa dengan
Ibnu Taymiyyah di masjid al-Umawi.
Sejarah tentang Syaikh Muhammad Abdul Wahhab juga telah dipalsukan
dengan tuduhan bahawa beliau datang membawa mazhab baru, melarang orang
ramai untuk berpegang kepada sesuatu mazhab dan menyuruh orang ramai
untuk melakukan ijtihad sendiri. Satu perkara yang sememangnya telah
masyhur bahawa Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahab r.h dari segi fikahnya
bermazhab Hanbali. Melalui risalah-risalah tulisan tangannya sendiri
beliau telah menafikan tuduhan terhadap beliau dan para pengikutnya
bahawa mereka menolak kewujudan mazhab-mazhab fikah di dalam Islam dan
memandangnya sebagai bid’ah. Anaknya Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad bin
‘Abdul Wahab telah memperjelaskan tentang hakikat dakwah bapanya
sebagai berikut:
Bahawa mazhab kami dalam ushuluddin (tauhid) adalah mazhab Ahlus Sunnah
Wal Jamaah, dan cara pemahaman kami adalah mengikut cara ulamak salaf.
Sedangkan dalam hal masalah furu’ (fikah) kami cenderung mengikuti
mazhab Ahmad bin Hanbal r.h. Kami tidak pernah mengingkari (melarang)
seseorang bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan
kami tidak mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab yang luar
dari mazhab empat seperti mazhab Rafidhah, Zaidiyah, Imamiyah dan
lain-lain lagi. Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab
yang batil malah kami memaksa mereka supaya bertaklid kepada salah satu
dari mazhab empat tersebut. Kami sama sekali tidak pernah mengaku
bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlak, juga tidak seorang
pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwakan dirinya dengan
demikian. Hanya ada beberapa masalah yang kalau kami lihat di sana ada
nas yang jelas, baik dari al-Qur’an mahupun al-Sunnah, dan setelah kami
periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya, ataupun
mentakhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta
dipegangi pula oleh salah seorang imam yang empat, maka kami
mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anuti… - Syaikh
Muhammad Basyir al-Sahsawani, Shiyanah al-Insan, ms. 473.
Demikianlah beberapa contoh peristiwa dalam sejarah Islam yang telah
diselewengkan musuh-musuh Islam dan disusup masuk ke dalam buku-buku
sejarah. Justeru itu pengkajian berkaitan sejarah Islam ini sepatutnya
mempunyai dasar-dasar yang kukuh serta kaedah-kaedah yang tetap
sehingga buku-buku tentang sejarah Islam tidak dimasuki riwayat-riwayat
bohong dan bercampur kemungkaran. Justeru penelitian fakta tentang
sejarah Islam sepatutnya diterapkan kaedah-kaedah ilmu Mustholatul
Hadis (pengkajian sanad atau sumber riwayat) agar kita dapat
menyalurkan kepada masyarakat riwayat-riwayat yang benar sahaja tentang
sejarah Islam.
Sumber
|